Lagi serangan buaya babitkan mangsa kanak-kanak di Lahad Datu

Lagi serangan buaya babitkan mangsa kanak-kanak di Lahad Datu

Lahad Datu: Belum lagi reda kes serangan buaya di daerah ini, seorang lagi kanak-kanak menjadi mangsa serangan buaya dalam kejadian di Kampung Air, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.55 petang itu, mangsa lelaki berusia tujuh itu parah di bahagian kaki kanannya akibat digigit reptilia ganas berkenaan.

Mangsa yang parah akibat diserang buaya, menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan turun ke bahagian bawah rumahnya untuk mengambil ayam.

“Ketika itu, sepupu mangsa telah ternampak seekor buaya yang menghampirinya lalu sepupu mangsa menjerit untuk memberi amaran kepada mangsa.

“Lalu mangsa menyelamatkan diri naik ke atas jambatan berhampiran rumahnya namun buaya itu sempat menyerang mangsa hingga cedera di bahagian kaki sebelah kanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad

Menurutnya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa telah menjalani pembedahan di bahagian kaki sebelah kanan dan didapati retak di bahagian tulang kakinya.

“Mangsa masih menerima rawatan di hospital dan keadaannya stabil,” katanya.

Sementara itu, Rohan berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu sudah mengenalpasti 28 sarang buaya di sekitar daerah ini.

“Kita telah kenalpasti terdapat 28 sarang buaya di daerah ini dan polis bekerjasama dengan JHL Lahad Datu untuk menjalankan operasi pembanterasan reptilia ganas berkenaan,” katanya.

Pada 1 Disember lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun hilang dipercayai dibaham buaya manakala ayahnya parah akibat digigit reptilia berkenaan ketika cuba menyelamatkan anaknya dalam kejadian berhampiran pangkalan Jeti PPM Lahad Datu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|