Siti Aminah tekad majukan lagi sektor perladangan Sabah

Siti Aminah tekad majukan lagi sektor perladangan Sabah

Kota Kinabalu: Prestasi sektor perladangan dan komoditi Sabah akan terus diperkasakan sejajar usaha meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat negeri ini.

Perkara itu ditekankan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berikutan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar dalam memajukan lagi sektor perladangan dan komoditi, khususnya di Sabah.

“Sebagai sebuah negeri pertanian, sudah tentu melalui tanggungjawab yang diberikan ini saya ingin melihat pembangunan sektor perladangan dan komoditi berkembang secara mapan dan mampu meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat di Sabah,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan 27 timbalan menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinannya, malam tadi.

Siti Aminah adalah antara tujuh Ahli Parlimen dari Sabah yang dilantik sebagai timbalan menteri.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan melantiknya sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komiditi.

Katanya, beliau turut diberi kepercayaan untuk membantu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadilah Yusof.

“Terima kasih Perdana Menteri di atas kepercayaan melantik saya selaku Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi dan sudah tentu saya juga menghargai dan berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mencadangkan nama saya untuk dilantik menjadi timbalan menteri dalam kementerian ini,” katanya.

Aminah berkata walaupun pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi sebagai sesuatu yang baharu namun beliau bertekad untuk memberikan khidmat yang terbaik, gigih bekerja demi rakyat dan negara.

“Kita sedar dan insaf selepas negara berdepan pandemik Covid-19, keadaan ekonomi negara turut terjejas termasuklah golongan yang terlibat dalam sektor perladangan dan komoditi.

“Justeru tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar. InsyaAllah saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya,” katanya .

Menurut Aminah yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Beaufort, Kementerian Perladangan dan Komoditi adalah sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap pembangunan industri komoditi utama negara iaitu kelapa sawit, getah, kayu, koko, tembakau, kenaf, lada hitam dan sago yang mana Sabah antara negeri yang terlibat secara langsung dalam sektor ini.

“Sudah tentu tumpuan kita selaras dengan visi kementerian ini antaranya meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor perladangan dan komoditi bagi memperkukuhkan dan memperluaskan pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Selain itu tumpuan juga untuk meningkatkan sumbangan sektor perladangan dan komoditi dalam pembangunan sosio ekonomi dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Sementara itu, Aminah optimis barisan Kabinet yang dibentuk dalam Kerajaan Perpaduan mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|