Tingkatkan aspek kawalan keselamatan dan perlindungan kendiri di premis

Tingkatkan aspek kawalan keselamatan dan perlindungan kendiri di premis

Semporna: Pengusaha pusat pelancongan di kawasan Pantai Timur negeri ini didedahkan dengan aspek kawalan keselamatan dan perlindungan secara kendiri di premis masing- masing.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, ia bagi mewujudkan kerjasama erat antara kedua-dua pihak dalam melonjakkan kesejahteraan di Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone).

Seramai 42 pengusaha resort yang hadir Majlis Taklimat Keselamatan anjuran ESSCOM di Hotel Seafest, Semporna.

“ESSCOM menganjurkan Majlis Taklimat Keselamatan dengan menjemput seramai 42 pengusaha resort hasil kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman di Hotel Seafest, di sini.

“Melalui majlis ini, pihak pengusaha resort dapat berinteraksi secara terus dengan pihak berkuasa berhubung cabaran keselamatan dalam industri pelancongan khususnya ESS Zone,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Hamzah berkata, majlis ini juga dapat mengukuhkan persepsi positif berhubung tahap kawalan keselamatan di ESS Zone yang sentiasa diberi perhatian serius oleh Kerajaan.

Sementara itu, pada majlis sama, ESSCOM turut melancarkan Kajian Kebolehlaksanaan Pelantikan Polis Bantuan di Resort Pantai Timur Sabah dengan kerjasama daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hamzah berkata, cadangan pelantikan Polis Bantuan di resort pantai timur Sabah ini merupakan tambahan elemen kawalan keselamatan kendiri di premis.

Katanya, ia mengikut peruntukan Bahagian IX, Akta Polis 1967 (Seksyen 47 – Seksyen 50) bagi melengkapi dan mengukuhkan kawalan keselamatan yang sedia wujud di lokasi-lokasi strategik di pantai timur Sabah.

“Kajian berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan dan dijangka selesai pada suku tahun ketiga 2022,” katanya,

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|