Kota Kinabalu: Penularan Covid-19 dikenalpasti memberi impak besar sehingga menjejaskan usaha pengusiran warga asing yang ditahan di depot Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Sabah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin berkata, mengikut perangkaan tahanan keseluruhan yang ada ketika ini adalah seramai 7,161 orang.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 6,597 adalah warganegara Filipina yang masih ditahan di semua keempat-empat depot Imigresen.
“Seperti yang kita sedia maklum, ancaman pandemik Covid-19 memberi impak yang sangat besar kepada keseluruhan perkhidmatan awam secara amnya dan Jabatan Imigresen Malaysia secara khususnya.
“Ini dapat dilihat dari segi proses pengusiran tahanan warga asing yang tergendala sejak pandemik Covid-19 bermula,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 JIM, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Jonathan berkata, terdapat jurang perbezaan yang sangat ketara dalam pelaksanaan penghantaran balik tahanan warganegara Filipina sejak tahun 2018 sehingga 2022.
Katanya, statistik pelaksanaan pengusiran warganegara Filipina bagi tahun 2019 hingga 2022 semakin menurun berbanding tahun 2018 yang merekodkan penghantaran pulang seramai 10,905 orang.
“Ia semakin menurun disebabkan faktor utama iaitu ancaman pandemik covid-19 yang membawa kepada penutupan sempadan antarabangsa negara-negara terlibat.
“Oleh demikian, sejajar dengan peralihan ke fasa endemik, kita berharap pihak Kedutaan Filipina memberi kerjasama sepenuhnya dan dapat mempermudahkan urusan pengusiran tahanan warganegara Filipina seperti sebelumnya.
“Ia bagi membolehkan tahanan ini balik ke negara asal dan menjalani kehidupan normal,” katanya.
Menurutnya, kerjasama daripada pihak kedutaan dan kerajaan Filipina adalah sangat penting bagi memastikan proses pengusiran dapat dilaksanakan dan diselesaikan dengan kadar segera.
Untuk rekod, seramai 9,610 individu berjaya dihantar pulang pada tahun 2019 sebelum menurun kepada 4,408 warga asing pada tahun 2020.
Manakala bagi tahun 2021 pula mencatatkan penghantaran seramai 1,184 individu dan hanya 90 individu berjaya dihantar pulang tahun ini.
-Deasoka