Kota Kinabalu: Syarikat swasta digalakkan dalam usaha membantu memasarkan produk kraftangan dan industri kecil dan sederhana (IKS) Sabah ke luar negara.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, berkata penglibatan syarikat swasta yang terlibat dalam industri logistik dan E-dagang dapat membantu usahawan Sabah memasarkan produk mereka ke pasaran luar negara.
Beliau berkata, Sabah mempunyai banyak produk kraftangan pelbagai etnik dan produk IKS yang berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara.
“Produk-produk tersebut banyak dijual di pasaran tempatan dan Semenanjung sahaja disebabkan kos pengangkutan yang agak tinggi untuk menghantarnya ke luar negara.
“Dengan penglibatan syarikat swasta khususnya yang terlibat dalam bidang logistik dan E-dagang, sudah tentu ia dapat membantu usahawan tempatan kita untuk memasarkan produk IKS ke luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat pengurusan World Asia Logistics (M) Sdn Bhd di rumah Yayasan Sabah, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Urusan World Asia Logistics, E Kandasamy dan Pengarah Wyngs, Eswar Kanda Kumar Kandasamy; Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah, Tseu Kei Yue dan Ketua Bahagian IKS DIDR, Lofina Justin.
Kunjungan itu yang diketuai oleh pengarah syarikat, Mohd Jabbarullah Abd Kadir bagi membincangkan produk kraftangan dan IKS Sabah untuk dipasarkan ke luar negara.
World Asia Logistics adalah syarikat logistik yang menghantar barang ke seluruh negara, selain turut terlibat mengambil produk dari Malaysia untuk dipasarkan ke luar negara melalui aplikasi MyBakul dan Big Borneo.
Juliah berharap usaha yang dilakukan World Asia Logistics menggunakan platform e-dagang itu dapat membantu usahawan di Sabah khususnya usahawan kraf dan IKS memajukan perniagaan mereka dengan memasarkan produk tempatan ke pasaran global.
-Deasoka