Tingkat keupayaan tindak balas bencana pelbagai agensi

Tingkat keupayaan tindak balas bencana pelbagai agensi

Kota Kinabalu: Penganjuran Bengkel Pengurusan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mampu meningkatkan kompetensi peserta dalam mengendalikan situasi getir ketika berlakunya sesuatu bencana.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PKOB dan PKTK adalah amat penting kerana kedua-dua tempat itu adalah nadi dalam memberikan tindak balas terhadap sesuatu bencana yang berlaku dengan efisien.

“Kunci sebenar kepada kejayaan sesuatu operasi bencana adalah bergantung kepada koordinasi yang cekap, menyeluruh dan pantas.

“Justeru, koordinasi serta kerjasama erat semua jabatan perlu diperkukuhkan, bengkel seumpama ini dapat meningkatkan kompetensi pengurusan bencana seterusnya memastikan keselamatan dan kebajikan masyarakat sentiasa terjamin serta terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pengurusan PKOB dan PKTK Zon Sabah, di sini, semalam.

Bengkel anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara Jabatan Perdana Menteri itu disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah bersama wakil dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Daerah serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertujuan sebagai persiapan menghadapi sebarang bencana.

Sementara itu, Razarudin turut mengadakan kunjungan hormat kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Turut hadir, Setiausaha Hal Ehwal Negeri dan Penyelidikan Datuk Awang Shaminan Datuk Awang Sahari, Pengarah JBPM Negeri Sabah, Abdul Razak Muda dan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi NADMA, Meor Ismail Meor Akim.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|