12 bulan penjara akibat langgar pejalan kaki, tiada lesen dan tayar botak

12 bulan penjara akibat langgar pejalan kaki, tiada lesen dan tayar botak

Tawau: Seorang penunggang motosikal dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan termasuk melanggar seorang pejalan kaki, tahun lalu ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Hazmi Abdul Gaffar, 46, didakwa melakukan kesalahan mengikut ketiga-tiga pertuduhan itu di Jalan Utara Baru, di sini, pada jam 6.30 pagi, 13 Mac 2021.

Ketika ditahan, tertuduh didakwa menunggang motosikal tanpa kecermatan sehingga menyebabkan kemalangan dan melanggar seorang warga emas, Mohd Idrusi Saipin, 62, yang sedang melintas jalan.

Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah, manakala tertuduh hanya mengalami kecederaan ringan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara tidak melebihi 12 bulan.

Dua lagi pertuduhan terhadapnya masing-masing mengikut Seksyen 26 (2) APJ 1987 kerana tidak memiliki lesen memandu dan Seksyen 119 (2) APJ 1987 kerana menggunakan kenderaan dengan tayar tidak berbunga.

Terdahulu, pegawai pendakwa, Asisten Superintenden Joan Lee dalam hujahannya memohon Mahkamah menjatuhkan hukuman secara berasingan memandangkan tertuduh tidak bertanggungjawab dan pernah disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Majistret Leona Dominic Majiliu kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan untuk kesalahan Seksyen 43 (1) APJ 1987, manakala Seksyen 26 (2) APJ 1987 dan Seksyen 41 (1) APJ 1987 masing-masing dua bulan penjara.

Leona juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara berasingan terhadap tiga pertuduhan itu bermula daripada tarikh sabitan (hari ini).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|