Paitan: Tindakan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) memfailkan semakan kehakiman berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah disifatkan sebagai satu sokongan terhadap kerajaan Pusat dan negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Maximus Ongkili, berkata ia adalah tindakan persatuan itu sendiri dalam membantu usaha menuntut hak Sabah.
Beliau bagaimanapun menegaskan tuntutan 40 peratus itu sudah dibincangkan dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA 63).
Katanya, ketika ini pihaknya sedang menunggu tindakan lanjut daripada Kementerian Kewangan sebelum satu lagi mesyuarat diadakan untuk membincangkan perkara itu.
“Mengenai dengan tuntutan 40 peratus seperti mana dalam Perlembagaan, perkara ini sudah dijawab oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa ia adalah tindakan oleh badan peguam Sabah itu sendiri yang mana mereka percaya ada asas untuk menuntut lebih ketara.
“Namun, sebenarnya dalam MKMA 63 yang dipengerusikan oleh Perdana Nenteri dan saya adalah setiausahanya, perkara ini sudah dalam perhatian, telahpun disentuh.
“Tapi kita tengok dulu tindakan seterusnya daripada pihak Kementerian Kewangan sebelum dibangkitkan balik dalam mesyuarat MKMA 63 akan datang yang tarikhnya belum ditetapkan.
“Apa yang peguam Sabah (SLS) itu buat adalah tindakan mereka sendiri untuk memberi sokongan terhadap apa yang Pusat buat dan juga kerajaan negeri Sabah telah buat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pesta Tagunggu, di sini, hari ini.
Sebelum ini SLS memfailkan semakan kehakiman berkaitan pemberian khas peruntukan 40 peratus kepada Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam maklum balas kerajaan negeri berhubung tindakan itu, Hajiji menyifatkannya sebagai satu inisiatif yang positif.
-Deasoka