Kota Kinabalu: Golongan warga emas di negeri ini disaran supaya sentiasa mengikuti perkembangan teknologi digital yang relevan dengan situasi masa kini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, penggunaan teknologi digital amat penting dalam kehidupan seharian ketika ini.
“Saya juga menyeru semua ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) meluangkan masa mendekatkan diri dengan penggunaan teknologi digital kerana kehidupan kita kini terutama selepas pandemik Covid-19 begitu banyak dipengaruhi oleh penggunaan teknologi digital.
“Teknologi digital ini tidaklah terlalu rumit, ia memudahkan kita dan melancarkan urusan-urusan yang ada. Jadi sekiranya ada PAWE belum begitu selesa atau peka dengan penggunaan teknologi digital, saya menyarankan kepada semua pengerusi PAWE untuk mengadakan aktiviti mengenali dan mengadaptasi penggunaan teknologi digital ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Juara Suara Emas PAWE 2022 yang dianjurkan PAWE Sepanggar, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi PAWE Bahagian Sepanggar, Datin Mariah Takin.
Tambah beliau lagi, saranan itu bagi memastikan PAWE terus releven kerana pada 2030 nanti, Malaysia akan dikenali sebagai negara warga emas.
“Ini kerana sebanyak 15 peratus penduduk di Malaysia dijangka mencapai umur 60 tahun ke atas. Jadi kehadiran PAWE akan dirasai dan PAWE harus terus relevan sesuai dengan dasar warga emas negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, program warga emas memberi peluang dan ruang kepada semua warga emas untuk mengeratkan hubungan silaturahim.
“Ia selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang berasaskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 19 PAWE ditubuhkan di negeri ini dengan ahli berdaftar seramai 4,784 orang terdiri daripada pelbagai kaum.
-Deasoka