Tindakan Muhyiddin seolah persoal kebijaksanaan Agong

Tindakan Muhyiddin seolah persoal kebijaksanaan Agong

Kota Kinabalu: Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikaikan keabsahan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan seperti mempersoal kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin, berkata sikap yang ditunjukkan bekas Perdana Menteri itu sangat biadap selain satu penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, beliau menasihati Muhyiddin agar bergerak ke hadapan dan menjadi Ahli Parlimen yang boleh menjadi semak dan imbang di Parlimen bagi memastikan aspirasi semua pihak dapat dilaksana segera.

“Tindakan Muhyiddin hanya akan menimbulkan kemarahan rakyat yang jelas tidak menghormati keputusan dan kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafah Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Beliau mengulas tindakan Muhyiddin yang meminta Anwar menunjukkan bukti sokongan keabsahannya sebagai Perdana Menteri pada sidang media PN, petang tadi.

Razeef berkata, beliau mengambil maklum kenyataan yang dibuat Muhyiddin berhubung proses pelantikan Perdana Menteri.

“Melalui kenyataan tersebut, saya melihat jurang masa yang besar dari jam 10.30 pagi 22 Nov 2022 sehingga ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

“Muhyiddin tidak menyebut berhubung sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong oleh Ahli-Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) pada jam 10.30 pagi 23 Nov 2022 dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Muhyiddin juga tidak menyebut mengenai titah Yang di-Pertuan Agong berhubung penubuhan sebuah Kerajaan Perpaduan selepas kedua pihak tidak mendapat majoriti mudah.

“Titah Yang di-Pertuan Agong ini sekali gus mengesahkan kebenaran penarikan semula sokongan 10 Ahli Parlimen BN terhadap Muhyiddin.

“Saya yakin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah meneliti kesemua pihak dan dalam usaha negara keluar dari krisis pasca pandemik, kesatuan antara semua pihak sangat penting bagi menjamin sebuah kerajaan stabil yang boleh fokus kepada pemulihan negara,” katanya.

Bagaimanapun, katanya Muhyiddin dengan angkuh dan sombong sebelum ini menolak titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Namun begitu titah Yang di-Pertuan Agong disambut baik dari pihak Pakatan Harapan (PH), BN dan GPS yang akhirnya bersetuju membentuk kerajaan bersama termasuk dari WARISAN dan Parti Bangsa Malaysia (PBM),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|