Bomba selamatkan lelaki cedera terkunci dalam rumah

Bomba selamatkan lelaki cedera terkunci dalam rumah

Sandakan: Seorang lelaki yang cedera di kepala diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap dalam rumah yang terkunci di Taman Puteri Indah, di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.14 malam.

Katanya, seramai sembilan anggota dan pegawai bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dihantar ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, pasukan bomba bertindak membuka grill pintu menggunakan peralatan khas (rescue tools).

“Terdapat seorang mangsa lelaki cedera ringan (terhentak di kepala) dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

“Operasi tamat pada 9.57 malam,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|