Timbangtara Sepanyol arah Malaysia bayar RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu

Timbangtara Sepanyol arah Malaysia bayar RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu

Kota Kinabalu: Penimbangtara Sepanyol, Gonzalo Stampa dilapor mengarahkan kerajaan Malaysia membayar USD14.92 bilion atau bersamaan RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu dalam tuntutan mereka atas dakwaan pelanggaran perjanjian berkaitan pajakan ke atas Sabah yang ditandatangani pada 1878.

Menerusi satu laporan Malaysiakini hari ini, perjanjian itu dikatakan ditandatangani Sultan Jamal Al Alam selaku Sultan Sulu ketika itu dengan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBU) diketuai Baron de Overback dan Alfred Dent.

Portal berkenaan memetik laporan laman web berita Sepanyol, La Informacion yang menyatakan arahan Stampa itu dibuat ketika perbicaraan di Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis.

Dalam laporan itu, waris Sultan Sulu dikatakan membuat tuntutan berkenaan selepas kerajaan Malaysia berhenti membayar wang pemisahan tahunan sebanyak RM5,300 kepada waris Sultan Sulu sejak 2013 berikutan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.

Disebabkan tidak membuat bayaran, Malaysia dikatakan melanggar perjanjian 1878 itu yang dianggap sebagai satu perjanjian pajakan swasta antarabangsa komersial.

Kata laporan yang dipetik Malaysiakini itu lagi, Malaysia mempunyai tempoh tiga bulan untuk membayar atau berdepan bayaran faedah kecuali jika anugerah terbabit dibatalkan.

Waris Sultan Sulu dikatakan pada mulanya menuntut USD32.2 bilion atau RM135.08 bilion dari Malaysia bagi mendapatkan semula wang pemisahan yang belum dibayar bersama jumlah hasil minyak dan gas ditemui di rantau ini yang mereka percaya sepatutnya dibayar.

Mereka diwakili firma guaman Sepanyol, B Cremdes & Asociados bersama Paul Cohen dan Elisabeth Mason dari 4-5 Gray’s Inn Square, London.

Kes itu dikatakan difailkan di Sepanyol kerana perjanjian 1878 ditandatangani di negara berkenaan.

Laporan yang dipetik Malaysiakini menyebut, pada mulanya, kes berkenaan dibicarakan di Madrid sehingga Mahkamah Tinggi Madrid membatalkan pelantikan Stampa atas alasan Malaysia tidak dimaklumkan dengan betul mengenai kes berkenaan menyebabkannya tidak dapat membela diri sebelum kes dipindahkan di Paris.

Malaysia bagaimanapun dilaporkan tidak hadir pada perbicaraan timbang tara di Paris.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|