Sabah kembangkan teknologi IoT dengan kerjasama MOSTI

Sabah kembangkan teknologi IoT dengan kerjasama MOSTI

Kota Kinabalu: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) hari ini melancarkan Program Rintis Sandbox Digital IoT (Sandbox IoT) yang pertama di Borneo.

Pelancaran itu disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan, menjadikan Sabah lokasi kelapan Sandbox IoT dalam usaha mengembangkan penggunaan teknologi IoT di Sabah.

Beliau berkata, pengembangan program itu di Sabah untuk merancakkan pembangunan inovasi ke arah membentuk ekonomi negeri dan menggalakkan penyelidikan serta pembangunan (R&D) dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

Yakub menyaksikan pertukaran MoU sempena pelancara Sandbox IoT di SICC.

Katanya, melalui Sandbox IoT, ia disasar untuk menggalakkan pembabitan belia dapam menguji produk atau teknologi baharu yang dapat memacu ekonomi negeri, menambah produktiviti sektor awam dan swasta, meningkatkan pembudayaan STI serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Pelancaran Digital IoT Sandbox ini adalah sebahagian daripada pengisian program Flagship di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya untuk menggalakkan pembudayaan STI dalam kalangan masyarakat di Sabah.

“Digital IoT Sandbox akan menjadi platform kepada ‘inivator’ dan usahawan digital menghasilkan produk dan menguji kebolehlaksanaannya,” katanya pada pelancaran program berkenaan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, mewakili menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Sempena pelancaran itu, dua memorandum persefahaman (MoU) turut ditandatangani iaitu di antara KSTI dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah dan KSTI dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).

Kerjasama di antara MRANTI dan KSTI akan bertumpu kepada sokongan pengkomersilan kepada pengamal teknologi tempatan, dan seterusnya menjana peluang ekonomi baharu untuk rakyat Sabah dengan mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Yakub berkata melalui MoU dengan UiTM, kedua-dua pihak akan bekerjasama melaksanakan dialog antarabangsa bersama Persatuan Pendidikan dan Kebudayaan Asia China (ACEC), selain menjadikan UiTM sebagai penghubung KSTI dengan rakan strategik universiti itu di dalam atau luar negara.

“MoU dengan MRANTI pula bagi melaksanakan Digital IoT Sandbox dan menghubungkan pemain industri dengan ‘inovator’ di Sabah. KSTI juga dalam perancangan untuk menjalin kerjasama dengan beberapa agensi lain termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Akademi Sains Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata Sandbox IoT bakal mengubah kehidupan rakyat Sabah melalui penggunaan dan pembangunan teknologi, khususnya ekosistem IoT yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi inovasi di Sabah.

Katanya, usaha pendigitalan menerusi inisiatif program berkenaan akan memanfaatkan sektor perkhidmatan, pertanian, perlombongan dan pelancongan di seluruh negara.

“Percambahan aplikasi IoT dalam perindustrian di Malaysia dijangka akan menyumbang RM9.8 bilion kepada pendapatan negara kasar pada 2025.

“Sandbox IoT bakal bertindak sebagai pusat bersepadu untuk penyelesaian berasaskan IoT, yang dilengkapi dengan perkhidmatan dan kemudahan sokongan seperti ujian kebolehoperasian dan pembangunan produk serta perkhidmatan IoT,” katanya.

Katanya, antara impak awal yang disasarkan Sandbox IoT termasuk pembangunan 20 proof-of-concept melalui pelaksanaan 50 program pembangunan kapasiti yang membabitkan masyarakat setempat.

Penggunaan aplikasi IoT, katanya adalah selaras dengan inisiatif kerajaan Pusat untuk menerima pakai Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam pelbagai sektor utama di seluruh negara.

“Melalui IoT, syarikat boleh mengautomasi proses operasi dan ini secara langsung akan mengurangkan kos buruh. Ia juga mengurangkan pembaziran dan menambah baik penyampaian perkhidmatan, meningkatkan daya saing dengan menurunkan kos pembuatan barangan serta meningkatkan ketelusan dengan pelanggan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|