Kudat: Sanggup rempuh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk meloloskan diri. Itu tindakan agresif sebuah bot induk nelayan Vietnam yang berjaya ditahan, di perairan daerah ini, Sabtu lalu.
Dalam operasi jam 12 tengah hari itu, bot berkenaan turut didapati sudah mengaut sekurang-kurangnya tiga tan hasil laut di sekitar perairan negara.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bot berkenaan dikesan menerusi penugasan Op Kuda Laut 03/2021.
Katanya, bot nelayan asing terbabit dikesan pasukan operasi ketika dipercayai sedang leka mengaut hasil laut negara di kedudukan lebih kurang 118 batu nautika Barat Laut Tanjung Simpang Mengayau, di sini.
“Semasa proses penahanan dan penangkapan, bot nelayan asing terbabit bertindak agresif dengan melanggar dan merempuh KM ARAU sehingga berlakunya kerosakan.
“Walaupun bot KM ARAU turut mengalami kerosakan kecil namun usaha penahanan berjaya dilakukan,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Maurice Grenville berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot terbabit menemukan seramai 41 kru termasuk tekong berusia lingkungan 18 ke 58 tahun membabitkan keseluruhan warga Vietnam.
Katanya, pemeriksaan dokumentasi mendapati bot nelayan asing berkenaan beroperasi di perairan negara secara haram apabila gagal mengemukakan sebarang dokumentasi berkaitan.
“Selain itu, pasukan operasi turut mendapati sebanyak tiga tan hasil laut yang ditemui di dalam bot berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, bot berkenaan menggunakan modus operasi dengan melepaskan sampan-sampan kecil bagi menangkap sotong sebelum hasilnya dikumpulkan pada kapal induk berkenaan,” katanya.
Maurice Grenville berkata, bot nelayan asing berkenaan disyaki bot induk berdasarkan kepada bilangan kru, saiz bot serta muatan yang dibawa.
Namun katanya, siasatan akan diteruskan bagi tujuan pengesahan sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Bot, kru dan semua hasil laut seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kudat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM 1.5 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit yang sah,” katanya.
Sehubungan itu, Maurice Grenville berkata, kawalan di perairan negara akan terus diperketat Maritim Malaysia dalam usaha membanteras segala kegiatan jenayah di laut dan rentas sempadan demi kesejahteraan maritim di negara ini.
Katanya, sebarang aduan kecemasan dan maklumat jenayah di laut boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088- 611858 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.
-Deasoka