Warga asing ditahan ketika pecah masuk sarang burung walit

Warga asing ditahan ketika pecah masuk sarang burung walit

Tawau: Tindakan pantas anggota polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing ketika memecah masuk rumah sarang burung walit di Kampung Sungai Imam Bombalai, di sini, petang tadi.

Suspek berusia lingkungan 20 tahun itu ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dari Balai Polis Bombalai, jam 3.40 petang.

Suspek ditahan ketika memecah masuk rumah sarang burung walid di Kampung Sungai Imam Bombalai, Tawau. Pix IPD Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis bergegas ke kawasan rumah sarang walit berkenaan untuk pemeriksaan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian menemui seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan rumah sarang burung walit berkenaan.

“Lelaki itu yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri namun gagal selepas kawasan berkenaan telah dikepung anggota polis sebelum suspek diberkas.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek membawa plastik warna hitam yang mengandungi satu karung sarang burung walit yang dipercayai dicuri,” katanya di sini, hari ini.

Jasmin berkata, turut dirampas sebatang aluminium yang diubah suai menjadi mata pisau, besi yang diubah suai menjadi cangkuk, tali nelon, besi pencangkuk dan lain-lain peralatan.

“Siasatan mendapati suspek warga asing yang masuk dan tinggal di Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

“Suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|