Pandemik Covid-19 beri tempoh dua tahun persiapan tunai ibadah haji

Pandemik Covid-19 beri tempoh dua tahun persiapan tunai ibadah haji

Kota Kinabalu: Ibadah haji yang tertangguh sejak dua tahun lalu memberi peluang kepada pasangan suami isteri untuk membuat persediaan yang secukupnya sebelum menjejak kaki ke Tanah Suci pada tahun ini.

Hartini Yussof, 41, dan suaminya, Noramlie Muhamad, 43, sebelum ini telah menerima tawaran pada tahun 2020 tetapi tertangguh akibat pandemik Covid-19 ketika itu.

Hartini memaklumkan bahawa dia dan suaminya menerima tawaran itu pada hujung Ramadan lalu namun persediaan sudah lama dibuat terutama ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Bagi kami, pandemik Covid-19 ini juga memberikan kami masa yang cukup untuk membuat persediaan dari segi mengkaji dan mendalami perkara utama berkaitan ibadah haji.

“Walaupun kami mengikuti kursus asas secara dalam talian ditambah pula kami juga menyertai kursus perdana secara bersemuka sebelum ini, Insya-Allah cukup untuk kami membuat persediaan,” katanya ketika ditemui di pekarangan bangunan Tabung Haji, Sembulan, di sini, hari ini.

Abdul Rahim

Sementara itu, seorang lagi jemaah dari Labuan, Abdul Rahim Wahid, 32, berkata beliau hanya mengharapkan kedatangannya sebagai ‘tetamu Allah’ pada musim haji kali ini memperoleh haji mabrur.

“Bagi saya, tidak kisah ketika sekarang kita berada di fasa endemik atau sebelum Covid-19 pun, sasaran saya tetap di tempat yang sama iaitu Tanah Suci Makkah.

“Semoga Allah mempermudahkan perjalanan untuk menyahut panggilannya ketika di sana nanti,” katanya yang juga antara jemaah muda menerima tawaran daripada pihak Tabung Haji.

Seramai 333 jemaah dari Sabah menunaikan ibadah haji pada tahun ini dengan seramai 142 jemaah adalah dari kumpulan pertama yang akan berlepas hari ini dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Tanah Suci.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|