Wanita mengandung disyaki cuba bunuh diri, diselamatkan

Wanita mengandung disyaki cuba bunuh diri, diselamatkan

Keningau: Pantang maut sebelum ajal. Seorang wanita mengandung yang terjun ke sungai Kampung Ansip, di sini, berjaya diselamatkan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, wanita berusia 45 tahun terbabit berjaya ditemui sejauh 1.2 kilometer dari lokasi awal mangsa dilaporkan terjun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.14 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik menerima laporan, pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan pesisir sungai bersama dengan penduduk kampung.

“Mangsa akhirnya ditemui oleh orang awam di tepi sungai kira-kira 1.2km dari lokasi asal mangsa dilaporkan terjun,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat seterusnya diberi rawatan awal unit EMRS Bomba dilokasi.

Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan tindakan selanjutnya bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.14 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|