Tiga rumah musnah, seorang melecur dalam kebakaran di Kampung Likas

Tiga rumah musnah, seorang melecur dalam kebakaran di Kampung Likas

Kota Kinabalu: Tiga buah rumah di Lorong Lengkok Kampung Likas, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran itu jam 1.33 pagi.

Anggota bomba memadam kebakaran di Lorong Lengkok Kampung Likas.

Katanya, seramai 13 pegawai dan anggota bersama dua jentera dengan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikerah ke lokasi kebakaran.

“Kebakaran membabitkan tiga buah rumah jenis tidak kekal yang terbakar sepenuhnya.

“Terdapat seorang mangsa wanita cedera ringan melecur di tangan dan diberi rawatan awal oleh EMRS sebelum diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada 2.08 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya pada 3.55 pagi.

“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|