KPDNHEP tumpaskan kegiatan seleweng barangan kawalan, nilai rampasan RM1,904,975

KPDNHEP tumpaskan kegiatan seleweng barangan kawalan, nilai rampasan RM1,904,975

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya mematahkan satu kegiatan penyelewengan barang kawalan dalam serbuan di Sungai Kolapis, Beluran, semalam.

Operasi jam 3.30 petang yang dibantu Batallion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran itu berjaya merampas minyak masak dan minyak diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM1,904,975.

Sebanyak 5,000 liter minyak diesel yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran turut berjaya dirampas.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, hasil serbuan, pasukan operasi menemukan sebanyak 9,690 kilogram minyak masak peket 1 kilogram di atas kapal yang ditahan.

Selain itu katanya, pihaknya turut menemui 5,000 liter minyak diesel yang disimpan di dalam skid tank di kawasan berhampiran.

“Serbuan kali ini adalah hasil risikan selama tiga minggu yang dijalankan KPDNHEP Sabah bagi mengenalpasti kegiatan berkenaan.

“Semua barang kawalan itu dipercayai cuba dijual ke negara jiran dan seorang lelaki tempatan turut ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan, hari ini.

Georgie berkata, penjaga kapal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan melakukan kesalahan dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

“Siasatan lanjut juga akan dijalankan bagi mengenal pasti rantaian kegiatan ini,” katanya.

Sementara itu, Georgie berkata, mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

“KPDNHEP terus komited melaksanakan tindakan mengawalselia bekalan dan harga barang kawalan dan keperluan asas seperti ayam telur dan minyak masak di setiap peringkat rantaian melalui pemeriksaan OPS ATM (Ayam, Telur, dan Minyak Masak).

“Pelaksanaan OPS ATM ini mulai dilaksanakan pada 23 Jun dan secara berfasa dan ia bertujuan untuk membanteras dan menggempur aktiviti menyorok barang kawalan serta memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan negara sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi pada harga berpatutan,” katanya.

Georgie berkata, berdasarkan statistik pemeriksaan OPS ATM, sebanyak 1,162 premis sudah diperiksa di seluruh Sabah.

Katanya, sebanyak 23 kes dihasilkan mengikut kesalahan Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah OPS ATM ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, tegasnya.

Georgie berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu juga boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui Whatsapp diralian 019-279 4317 atau 019-848 8000.

Katanya, ia juga boleh disalurkan menerusi portal (e-aduan.kpdnhep.gov.my), emel (e-aduan@kpdnhep.gov.my) atau menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|