Bekalan telur ayam stabil – Jeffrey

Bekalan telur ayam stabil – Jeffrey

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah memberi jaminan bekalan telur ayam di negeri ini kekal stabil.

Menterinya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata berikutan itu pengguna di Sabah tidak perlu risau berhubung bekalan telur ayam.

Datuk Dr Jeffrey Kitingan

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah, baru-baru ini melaksanakan pemantauan di semua ladang ternakan ayam telur berskala besar dan mendapati tidak timbul penurunan pengeluaran.

“Kebanyakan ladang ternakan memberikan laporan balas kepada JPV mengatakan mereka tidak berdepan masalah untuk memenuhi permintaan pengguna di Sabah.

“Dalam perkataan lain, bekalan telur ayam di Sabah kekal stabil. Kerajaan turut menguatkuasakan kawalan harga yang ketat terhadap produk itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri, bagaimanapun mengakui kemungkinan berlaku peningkatan permintaan telur ayam yang menyebabkan bekalan bahan makanan itu cepat habis di pasaran.

Katanya, ia antara sebab ada pengguna mengadu berdepan kesukaran membeli telur ayam di beberapa lokasi sekitar negeri ini.

Berikutan itu, beliau berkata kementeriannya sedang mencari pendekatan untuk membantu sektor swasta memenuhi peningkatan permintaan selain menurunkan harga sumber protein yang lain, khususnya daging ayam dan babi.

“Masalahnya ialah, ketika harga ayam dan babi ditentukan pihak kementerian di Sabah, kita masih perlu mematuhi panduan ditetapkan JPV persekutuan seperti hanya menerima produk yang dikeluarkan rumah penyembelihan yang diiktiraf JPV persekutuan.

“Bagi menyelesaikan isu ini, saya ada mencadangkan pembentukan sebuah jawatankuasa khas mengenai keselamatan makanan.

“Kita mesti cari jalan untuk mengurangkan import makanan dengan meningkatkan pengeluaran tempatan, bukan saja ayam atau babi, malah beras dan gandum,” katanya.

Jelasnya, Sabah juga akan menuntut penurunan kuasa daripada JPV persekutuan kepada JPV Sabah supaya kerajaan negeri boleh membuat keputusan sendiri dan meluaskan senarai rumah sembelihan di luar negara yang boleh diterima untuk menambah bekalan ayam dan babi yang dikeluarkan di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|