Bung Moktar hulur bantuan kepada mangsa kebakaran

Bung Moktar hulur bantuan kepada mangsa kebakaran

Kinabatangan: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengambil peluang cuti sempena sambutan Hari Raya Aidilhadha pada Ahad dan Isnin lalu untuk melawat dan menghulur bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Paris 3, di sini.

Kebakaran yang berlaku minggu lalu sekitar jam 2 petang itu memusnahkan empat buah rumah berjiran iaitu rumah Sitiawah Abdullah, Usman Dalle, Abdullah Jabbare dan Risnawati Sharif.

Bung Moktar bersama Jafry meneliti kesan kebakaran yang memusnahkan empat rumah di Kampung Paris 3, Kinabatangan.

Difahamkan, semua harta benda mangsa gagal diselamatkan, namun tiada sebarang kemalangan nyawa yang dilaporkan.

Dua jentera bomba digerakkan ke lokasi kejadian masing-masing dari Lahad Datu dan Kinabatangan, namun keadaan kebakaran sudah merebak dan hampir keseluruhan struktur rumah musnah sejurus bomba tiba.

Bung Moktar dan Jafry bersama ahli keluarga mangsa kebakaran rumah di Kampung Paris 3, Kinabatangan.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang juga ADUN Sukau, Datuk Jafry Arifin tampil menemui mangsa dan meninjau kemusnahan dialami mereka.

Selain menzahirkan simpati kepada kesemua mangsa yang terlibat, Bung Moktar turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada mangsa kebakaran berkenaan.

“Saya bersimpati dengan musibah yang melanda mereka moga mereka redha dan bersabar menerima ujian ini. Sebagai Ahli Parlimen di sini saya akan pastikan mereka akan mendapat tempat berlindung dan membina rumah mereka semula,” katanya.

Punca kebakaran dan anggaran kos kerugian yang ditanggung oleh mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|