Tiga pemandu mabuk didenda RM10,000

Tiga pemandu mabuk didenda RM10,000

Tawau: Tiga lelaki masing-masing didenda sebanyak RM10,000 dan penjara 30 hari selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk pada 17 Jun lalu ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Ketiga-tiga tertuduh, Donyeper Motogor, 42, Jasintar Lewo, 38 dan Ahmad Raihan Tamring, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan, manakala lesen memandu digantung selama dua tahun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thien Vun, di sini, antara jam 1.40 pagi hingga 1.58 pagi, 17 Jun lalu.

Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah ketiga-tiga tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Sementara itu, Ahmad Raihan turut didenda RM400 atau penjara 14 hari jika gagal membayarnnya kerana tidak memiliki lesen memandu mengikut Seksyen 26(1) APJ 1987.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|