PPN Sabah, Sarawak dan Labuan cadang Zamri dilantik Senator wakili peladang

PPN Sabah, Sarawak dan Labuan cadang Zamri dilantik Senator wakili peladang

Labuan: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah, Sarawak dan Labuan mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan agar melantik Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob sebagai Senator bagi mewakili warga peladang di seluruh negara.

Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, pelantikan pemimpin peladang sebagai Senator amat penting bagi memperjuangkan nasib peladang di negara ini.

“PPN di Borneo yang terdiri daripada Sabah, Sarawak dan Labuan mencadangkan agar Zamri dapat dilantik sebagai Senator mewakili warga peladang seluruh negara.

“Kami berharap kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap syor tersebut, ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agong Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Labuan Utara di sini hari ini.

Mohd Nazri berkata, pelantikan Senator mewakili warga peladang akan dapat membantu menangkis persepsi dan pandangan negatif awam bahawa legitimasi Dewan Negara hanya didominasi golongan berkepentingan politik semata-mata.

Sementara itu, Pengerusi PPN Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, sudah tiba masanya pemimpin peladang dilantik sebagai Senator bagi membawa suara warga peladang di Dewan Negara.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata, kerajaan perlu memberi koata kepada wakil peladang untuk mengisi jawatan Senator.

“Kita mahu masalah yang dihadapi oleh masyarakat peladang di negara ini dapat dibawa dan dibincangkan untuk penyelesaian di peringkat pembuat dasar iaitu Dewan Negara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi PPN Labuan, Bungso Mohamad turut berharap Perdana Menteri akan menerima cadangan itu demi kepentingan warga peladang di negara.

Katanya, ramai daripada wakil parti politik telah dilantik sebagai Senator, namun tiada seorang pun yang mewakili warga peladang dilantik ke jawatan itu.

“Sekiranya Zamri dilantik, sudah pasti beliau dapat menggunakan kepakarannya dalam bidang peladangan untuk menyumbang dan menjuarai isu-isu yang melibatkan masa depan golongan peladang. Inilah harapan warga peladang di negara ini,” ujarnya.

Di Malaysia, majoriti rakyat melihat senator hanya berkhidmat kepada parti pemerintah dan seramai 40 Senator dilantik oleh Yang di-Pertuan Agung berdasarkan Perkara 45(b) atas nasihat Perdana Menteri.

Kuota sebanyak 20 hingga 30 peratus yang dilantik adalah daripada golongan pakar seperti yang dinyatakan dalam Perkara 45(2), iaitu golongan yang pakar dalam bidang tertentu dan ras minoriti.

Terdahulu, mesyuarat itu dipengerusikan oleh Bungso.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|