Kota Kinabalu: Kerajaan meneruskan subsidi untuk minyak masak dalam paket satu kilogram berharga RM2.50 sepaket dengan pengeluaran 60,000 tan sebulan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata hanya subsidi minyak masak dalam botol yang tidak lagi diteruskan dan bukannya subsidi untuk semua jenis minyak masak.
“Subsidi yang ditanggung oleh kerajaan ini adalah untuk kategori minyak masak kampit RM2.50 bagi satu kilogram (kg) sahaja, berbanding harga pasaran sebenar RM9 bagi satu kg untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40. Subsidi ini telah bermula sejak Jun 2007,” katanya pada sidang media di Putrajaya, petang ini.
Beliau berkata, pengeluaran 60,000 tan sebulan untuk minyak masak bersubsidi dalam paket adalah mencukupi berdasarkan kadar keperluan pengguna tempatan ketika ini sebanyak 55,000 tan metrik sebulan.
Sementara itu, Perdana Menteri menjelaskan subsidi minyak masak berbotol iaitu dalam botol satu, dua, tiga dan lima kg dihentikan memandangkan inisiatif itu sepatutnya hanya selama tiga bulan ketika pandemik Covid-19 bermula Ogos tahun lalu.
Usaha itu katanya bagi membantu rakyat yang ketika itu terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol ini hanyalah untuk tempoh tiga bulan sahaja dengan kos RM55 juta sebulan.
“Walaubagaimanapun, kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan.
“Sehubungan itu, kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai 2022 tidak lagi menyambung subsidi untuk minyak masak berbotol kerana objektif awal program ini adalah untuk membantu golongan terkesan pandemik,” katanya.
-Deasoka