PM umum BKM Tambahan untuk B40

PM umum BKM Tambahan untuk B40

Kota Kinabalu: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini mengumumkan inisiatif bantuan tunai langsung Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Tambahan kepada golongan B40 yang akan dibayar serentak dengan BKM Fasa Dua mulai 27 Jun ini.

Menerusi inisiatif itu, penerima BKM akan menerima bayaran tambahan RM100 bagi isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang menjadikan jumlah maksimum RM500 bakal diterima golongan B40 selepas ditambah pembayaran untuk BKM Fasa Dua.

Ismail Sabri berkata, bayaran tambahan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM 630 juta yang akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima merangkumi empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.

Katanya, ia menjadikan jumlah pembayaran BKM mulai 27 Jun ini meningkat kepada RM1.74 bilion selepas ditambah peruntukan sedia ada untuk bayaran BKM Fasa Dua berjumlah RM1.11 bilion.

“Pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan golongan B40 terutamanya dalam menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

“Kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan semasa terutamanya melibatkan kenaikan harga barangan keperluan dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar,” katanya pada sidang media di Putrajaya, petang ini.

Katanya, inisiatif itu turut mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan yang berlaku kebelakangan ini.

Ismail Sabri berkata, inisiatif BKM termasuk BKM Tambahan itu membolehkan isi rumah B40 bakal menerima sehingga RM2,500 pada 2022 menjadikannya bantuan tertinggi setakat ini yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.

Semakan status pembayaran BKM boleh dibuat bermula 27 Jun 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|