Tawau: Pasukan Sukarelawan akan diwujudkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam menangani musibah kebakaran di kawasan mereka.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, mengikut rekod, daerah ini sering berlaku kebakaran terutamanya di kawasan kampung dan penempatan yang padat.
Katanya, pasukan sukarelawan itu perlu diwujudkan sebagai persediaan awal di peringkat kampung untuk memberi bantuan awal sekiranya berlaku musibah.
“Jika berlaku kebakaran misalnya, pasukan sukarelawan ini akan membantu mengikut kapasiti dan kemampuan mereka sementara menunggu ketibaan pasukan bomba.
“Mereka boleh memberikan ‘Basic Life Support’ (BLS) supaya kebakaran tidak merebak lebih besar yang boleh merosakan harta benda dan meragut nyawa,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata demikian semasa merasmikan pelancaran ‘Tawau Emergency Mutual Aid’ (TEMA), di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda dan Ketua Zon Tawau JBPM Sabah merangkap Pengerusi TEMA, Sukur Hatta.
Andi Muhammad Suryady berkata, inisiatif ini akan ditubuhkan secepatnya dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.
“Kami akan sasarkan golongan belia untuk menyertai anggota sukarelawan ini dan mereka akan dilatih cara membantu serta menangani musibah dengan betul.
“Sekiranya ia berjaya dilaksanakan, kemungkinan anggota sukarelawan ini akan diluaskan ke semua peringkat parlimen Kalabakan,” katanya.
Sementara itu, mengulas berhubung penubuhan TEMA di daerah ini, Andi Muhammad Suryady berkata, ia adalah satu inisiatif yang sangat baik dan tepat pada masanya.
“Ahli TEMA akan dilatih dan bertindak memberi bantuan dari segi fasiliti semasa berlakunya kecemasan di tempat mereka.
“Saya berharap dengan adanya pasukan TEMA ini, isu keselamatan di daerah ini dapat dipertingkatkan dan ditangani dengan baik sekiranya berlaku bencana,” katanya.
-Deasoka