TEMA bantu tangani kebakaran rumah atas air

TEMA bantu tangani kebakaran rumah atas air

Tawau: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengambil inisiatif melancarkan Tawau Emergency Mutual Aid (TEMA) dalam usaha menangani isu berkaitan kebakaran dan kecemasan.

Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda berkata, setakat ini, pihaknya sudah bekerjasama dengan 10 agensi dan syarikat membabitkan lebih 300 ahli.

Katanya, ia bagi membolehkan syarikat-syarikat berkolaborasi melalui sumber dan kepakaran yang mereka ada sekiranya berlaku sebarang insiden.

“Ia juga sebagai persediaan untuk menangani sebarang insiden terutamanya pada peringkat awal.

“Kewujudan TEMA di daerah ini juga dapat membantu bomba ketika bencana kebakaran khususnya membabitkan rumah atas air, industri dan domestik yang banyak direkodkan di Zon Tawau,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran TEMA, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhamad Suryady Bandy.

Menurutnya, Tawau adalah antara daerah paling kerap berlaku kebakaran rumah atas air pada tahun ini.

“Daripada 10 kes, enam atau tujuh kes adalah daripada Zon Tawau yang meliputi kawasan Lahad Datu dan Semporna,” katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, ahli TEMA akan diterapkan tiga ilmu pengetahuan iaitu ‘Basic Life Support’, Teknik melawan kebakaran dan Risiko bahan berbahaya.

“Semua ahli TEMA diberikan pendedahan itu dan latihan bersama akan diadakan tahun ini bagi meningkatkan kordinasi dan skop tugas setiap agensi.

“JBPM Sabah mengharapkan ia akan menjadi pemangkin kepada syarikat lain untuk berkolaborasi mewujudkan TEMA di kawasan mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|