Anak gajah yang diselamatkan akhirnya mati

Anak gajah yang diselamatkan akhirnya mati

Kota Kinabalu: Usaha pegawai veterinar menyelamatkan anak gajah yang cedera di kaki akibat terkena jerat gagal apabila haiwan itu dilaporkan mati pada petang semalam.

Walaupun kaki kanan hadapan anak gajah betina itu telah dipotong bagi mengelak tisu kaki menjadi lebih parah namun berlaku kegagalan pada organ dalam badan haiwan berkenaan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, anak gajah berusia kurang dua tahun itu telah diberi rawatan sebaiknya selepas melalui proses pembedahan memotong kaki kanan hadapan pada Isnin lalu.

“Selepas pembedahan, anak gajah itu juga telah menunjukkan perkembangan yang sangat baik. Ia kelihatan sihat malah makan dan minum seperti gajah sihat yang biasa.

“Bagaimanapun, pada keesokan harinya (Selasa), anak gajah itu kelihatan agak lemah dan tertekan. Rawatan dan pemberian ubat telah dilakukan dan anak gajah itu bertindak balas dengan baik.

“Namun pada sebelah petang, anak gajah itu telah rebah. Ia cuba untuk bangun tetapi rebah semula seketika dan kira-kira jam 6.15 petang, anak gajah itu berhenti bernafas dan doktor veterinar yang merawat mengesahkan kematiannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, bedah siasat terhadap anak gajah itu dilakukan pada pagi tadi dan mendapati kematian berpunca daripada kegagalan organ penting dalam badannya.

“Kematian berpunca daripada kegagalan organ penting seperti jantung, paru-paru dan berlaku pendarahan pada saluran pemakanan seperti perut dan usus.

“Ia disebabkan akibat daripada jangkitan pada luka yang dialaminya sejak terkena jerat,” katanya.

Tambah Jafry lagi, walaupun pegawai veterinar yang merawat anak gajah itu melakukan yang terbaik namun ia akhirnya mati.

“Saya sangat sedih keadaan anak gajah itu akhirnya mati dan saya berharap kecederaan sehingga menyebabkan kematian sebegini tidak berulang di masa hadapan.

“Saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat Sabah untuk sama-sama berusaha membendung kegiatan memasang jerat yang menyalahi undang-undang bagi mengelakkan kecederaan dan kematian kepada hidupan liar terutama haiwan terancam seperti gajah,” katanya.

Sebelum itu, seekor anak gajah ditemui orang awam dalam keadaan cedera pada bahagian kaki kanan hadapan selepas terkena jerat dalam kejadian di Tungku, Lahad Datu pada Sabtu lalu.

Usaha menyelamatkan haiwan itu segera dilakukan dan ditemui di kawasan Felda Sahabat 5 oleh pasukan Penyelamat Hidupan Liar sebelum dirawat oleh pegawai veterinar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|