Latihan Perang Borneo, bantu tingkat kecekapan dan kemahiran Armada Timur

Latihan Perang Borneo, bantu tingkat kecekapan dan kemahiran Armada Timur

Kota Kinabalu: Latihan Perang Borneo Siri 5/22 yang berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) akan mampu meningkatkan kecekapan dan kemahiran Armada Timur.

Ia menerusi latihan yang memfokuskan pendekatan dinamik bagi melatih serta menilai keupayaan semasa aset dan kecekapan warga Armada Timur dalam aspek navigasi, komunikasi dan peperangan maritim.

Warga TLDM ketika melaksanakan latihan pemindahan barangan antara dua kapal semasa pelaksanaan Perang Borneo.

Timbalan Panglima Armada Timur iaitu Laksamana Pertama Dr Najhan Md Said berkata, latihan Perang Borneo itu dilaksanakan di sekitar perairan Laut China Selatan.

Katanya, ia membabitkan empat kapal perang yang ditugaskan di Markas Pemerintahan Armada Timur.

“Perang Borneo dimulakan dengan pergerakan Kapal Diraja (KD) PERAK, KD BADIK, KD RENCONG dan KD BAUNG meninggalkan pelabuhan sejak dinihari dan bersedia melaksanakan pelbagai evolusi yang sudah dirancang.

“Menerusi fasa ini, kita sendiri dapat melihat kecekapan serta kemampuan warga dalam melaksanakan evolusi di laut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas turut serta dalam eksesais Perang Borneo bersama barisan kepimpinan tertinggi Markas Pemerintahan Armada Timur, semalam.

Dr Najhan berkata, latihan itu juga tidak hanya memfokuskan peningkatan warga, terapi sekaligus dilihat sebagai medium terbaik untuk memperagakan kehadiran aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Zon Maritim Malaysia (ZMM) Sabah.

“Eksesais siri ini juga turut menguji serta menilai prosedur pelaksanaan evolusi mendarat yang dilaksanakan di kapal.

“TLDM secara amnya sentiasa fokus dan komited dalam merancang dan menyediakan program latihan yang dapat meningkatkan kompetensi warga TLDM.

“Justeru, dengan penganjuran eksesais ini, ianya dilihat sebagai satu peluang yang baik dalam menyediakan angkatan yang siaga serta mampu mendepani eksesais masa hadapan sama ada secara bilateral mahupun multilateral,” katanyax

Menurutnya, Perang Borneo yang dilaksanakan secara penggiliran bersama Markas Wilayah Laut 2 ini akan terus dilaksanakan secara berkala.

Katanya, ia demi mempertingkatkan lagi kesiagaan TLDM dalam melindungi kedaulatan perairan Sabah dan Sarawak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|