PBM tubuh 26 bahagian di Sabah, Labuan

PBM tubuh 26 bahagian di Sabah, Labuan

Kota Kinabalu: Parti Bangsa Malaysia (PBM) sudah menubuhkan sebanyak 26 bahagian di Sabah dan Labuan, kata bakal presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, struktur akar umbi PBM Sabah telahpun diwujudkan dan ia ditubuhkan oleh akar umbi sendiri bukan pemimpin tertinggi.

“Kami sudah ada 26 Bahagian di sini dan telah berkembang bersama ahli dari akar umbi, Pengerusi PBM Sabah, Rahimah Majid juga ada di sini.

“Sebelum ini parti sudah ada sebanyak 190 Bahagian telah ditubuhkan di seluruh negara. Jadi di Sabah sudah penuh apabila ada sebanyak 26 bahagian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Industri Koko Malaysia, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas diminta mengulas kemasukan PBM di Sabah.

Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, pihaknya mengalu-alukan kemasukan Ahli Parlimen bebas yang berminat untuk menyertai PBM.

“Sangat dialu-alukan sesiapa yang mahu sertai parti kerana ini akan mengukuhkan blok saya,” katanya.

Zuraida yang sebelum ini keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diumumkan sebagai bakal Presiden PBM bagi memimpin parti itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|