133 pegawai JIM Sabah, terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

133 pegawai JIM Sabah, terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

Kota Kinabalu: Seramai 133 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APM), hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin berkata, ia sebagai penghargaan kepada mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2021.

Jonathan Yasin ketika menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pegawai dan anggota JIM Sabah di SICC, Kota Kinabalu, hari ini.

Katanya, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan elemen budaya kerja cemerlang dijadikan paksi utama dalam pelaksanaan tugas khususnya berkaitan sistem penyampaian kerajaan dalam kalangan penjawat awam.

“Diharapkan penganugerahan ini dapat memberikan lagi suntikan semangat dan motivasi kepada mereka yang terlibat dan pegawai serta anggota Imigresen lainnya secara keseluruhan.

“Penganugerahan ini perlu menjadi tanda aras utama untuk semua agar terus memberi perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 JIM yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Jonathan berkata, adalah menjadi kewajiban semua penjawat awam untuk sentiasa bekerja keras dan berusaha mempertingkatkan lagi daya produktiviti serta kecekapan kerja.

Katanya, ia juga diharap akan sentiasa dapat memberi impak kepada nilai tambah keyakinan rakyat kepada perkhidmatan kerajaan.

“Ini sekaligus boleh menjadikan perkhidmatan Imigresen untuk terus menjadi perkhidmatan yang sentiasa menepati kehendak dan ekspektasi pelanggan jabatan.

“Pengiktirafan ini juga sebenarnya secara tidak langsung mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan semua pegawai dan kakitangan Imigresen untuk membuktikan keupayaan organisasi bagi menghasilkan perkhidmatan yang terbaik dan disegani,” katanya.

Sementara itu, Jonathan turut mengucapkan tahniah atas kejayaan merealisasikan Aspirasi Keluarga Malaysia Kementerian Dalam Negeri (AKM KDN) 2022 dengan pengenalan operasi Perkhidmatan Pengeluaran Dokumen Imigresen dan Pendaftaran di kawasan pedalaman yang dicapai JIM Negeri Sabah.

Katanya, perkhidmatan itu menawarkan perkhidmatan pengeluaran Pasport Menyeberang Sempadan (PMS) di Pos Kawalan Imigresen Pagalungan, di daerah kecil Pagalungan.

“Perluasan perkhidmatan ini membantu rakyat Sabah yang tinggal di kawasan pedalaman khususnya di sempadan negara dari segi penjimatan kos dan masa perjalanan orang awam yang berurusan, selain memudahkan urusan untuk mendapatkan perkhidmatan keimigresenan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|