Tiga pemandu alami detik cemas kenderaan dihempap dahan pokok

Kota Kinabalu: Tiga pemandu berdepan detik cemas apabila dahan pokok tumbang dan menghempap kenderaan dipandu mereka dalam keadaan angin kencang dan hujan lebat Jalan Tuaran, Likas, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, ketiga-tiga pemandu bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.55 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, dahan pokok tumbang menghalang laluan jalan raya dan menghempap tiga kenderaan jenis Perodua Myvi, Bezza dan van Nissan Urban.

“Pasukan operasi terus menjalankan operasi memotong dan mengalihkan dahan pokok tumbang menggunakan peralatan khas Chain Saw,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya mengalihkan dahan pokok ke tempat selamat.

“Dahan pokok yang tumbang itu dipercayai akibat angin kencang dan hujan lebat.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera dan operasi tamat jam 6.22 petang tadi,” katanya.

Operasi mengalihkan dahan pokok tumbang turut dibantu kakitangan Landskap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan orang awam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|