Cubaan seludup barang kawalan dipatahkan

Tawau: Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar barang kawalan tanpa permit bernilai RM38,884 berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di Kawasan Perairan Sungai Melayu, di sini, kelmarin.

Dalam operasi kira-kira jam 10 malam itu, semua barang kawalan yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran itu membabitkan minyak masak dan tong gas LPG.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, pihaknya berjaya menahan sebuah jongkong yang dijuragani seorang lelaki berusia 25 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi berjaya menemui barang kawalan tanpa permit atau kebenaran yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Hasil pemeriksaan dalam jongkong itu menemukan beberapa tong gas dan beberapa kotak minyak masak pelbagai jenama dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Juragan jongkong terbabit turut gagal menunjukkan surat kebenaran daripada KPDNHEP untuk membawa semua barang kawalan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, nilai rampasan termasuk sebuah jongkong dianggarkan sebanyak RM38,884 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, tangkapan dan rampasan kemudiannya diserah kepada KPDNHEP Tawau untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 atau berhubung ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|