Penampang: Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri jelas dirasai di hati sanubari setiap pegawai dan anggota polis yang menyambut bersama Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.
Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah, Timbalannya, Datuk Jauteh Dikun serta beberapa lagi barisan kepimpinan tertinggi Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah serta ketua polis daerah lain.
Malah kemeriahan Aidilfitiri itu turut dikongsi bersama orang perseorangan membabitkan agensi kerajaan, peniaga serta masyarakat umum.
Mohd Haris berkata, antara objektif Rumah Terbuka Aidilfitri IPD Penampang ini adalah untuk mengeratkan hubungan siratulrahim bukan saja khusus dalam kalangan pegawai dan anggota.
Katanya, ia juga membabitkan masyarakat setempat terutamanya di Daerah Penampang sejajar dengan slogan “Polis Dan Masyarakat, Berpisah Tiada”
“Hari ini, pelbagai aneka juadah makanan tradisi raya dihidangkan buat tetamu yang hadir dan secara tidak langsung mengubat kerinduan selepas dua tahun tidak dapat berkumpul bersama merayakan lebaran.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri IPD Penampang kemarin,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Balai Polis Putatan muncul juara Kategori Booth Paling Kreatif sempena Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri berkenaan.
Penilaian untuk pertandingan diadili berdasarkan kekreatifan bahagian dan balai menghias ‘rumah’ masing-masing dengan mengambil kira jenis juadah yang dihidangkan kepada para tetamu.
-Deasoka