Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) Sabah berharap kesepakatan parti sedia ada dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat memberikan impak positif kepada dinamika politik negeri ini.
Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Raime Unggi berkata, kesepakatan tersebut juga diharapkan dapat membawa aspirasi ‘Sabahan First’ lebih ke hadapan, terutama menjelang persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.
“Tahniah diucapkan kepada pembentukan rasmi pakatan GRS yang dilancarkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pagi tadi.
“Bagi BN dan UMNO Sabah, kita berharap kesepakatan ini meskipun gabungan yang berlainan dapat membawa politik negeri ke hadapan.
“BN dan UMNO Sabah juga telah memperjuangkan autonomi negeri yang dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Raime dalam masa sama turut mengharapkan GRS dapat memperterjemahkan kesepakatan yang dimaksudkan untuk terus berganding bahu dengan BN dalam persiapan PRU kelak.
“Misi kita sama, di bawah Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, BN dan UMNO Sabah sebenarnya telah memperjuangkan agenda Sabah First ini.
“Oleh yang demikian, dengan adanya gabungan berlainan ini kita dapat memberi fokus dan lebih positif dalam menghadapi cabaran PRU-15 yang dijangka tidak lama lagi,”katanya.
Selain Raime, antara pemimpin-pemimpin BN dan UMNO yang turut hadir dalam majlis pelancaran GRS sebentar tadi adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan, Ketua Wanita, Datuk Jainab Ayid, Ketua Pemuda UMNO, Aziz Julkarnain dan beberapa lagi pemimpin serta wakil rakyat UMNO/BN.
Untuk rekod, majlis pelancaran berkenaan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah selaku Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
Antara parti komponen yang terlibat adalah USNO, SAPP, STAR dan PBS.
-Deasoka