Sabah First teras perjuangan GRS

Kota Kinabalu: Sabah First menjadi antara empat teras Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menjadi keutamaan dalam perjuangan gabungan berkenaan.

Tiga lagi ialah Sabah Diutamakan, Sabah Forward atau Sabah Melangkah Ke Hadapan, Sabah Prosper atau Sabah Makmur dan Sabah United atau Sabah Yang Bersatu.

Hajiji melancarkan GRS secara rasmi di SICC, Kota Kinabalu.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata empat teras itu adalah tambahan kepada Agenda Sayangi Sabah yang termaktub dalam Akujanji GRS pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16), pada September 2020.

Menerusi teras Sabah First, katanya GRS menetapkan misi untuk menganjak status Sabah pada kedudukan teratas dalam pelbagai aspek pembangunan selain menjadi pegangan untuk membuat susulan setiap perkara dalam siri perundingan berkaitan tuntutan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Antara pemimpin yang turut hadir dalam majlis pelancaran GRS.

“Sabah First tidak bermaksud bahawa kita mengenepikan kepentingan nasional, namun sebagai wadah tempatan, amanah dan tanggungjawab besar kita adalah memperjuangkan kepentingan negeri sebagai keutamaan nombor satu.

“Kita yakin dan percaya, sebagai salah satu komponen penting negara, matlamat membina Sabah yang lebih maju dan berjaya perlu diangkat sebagai agenda nasional demi menjamin kemakmuran dan kelestarian Persekutuan Malaysia,” katanya pada Majlis Pelancaran GRS, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah tiga Timbalan Pengerusi GRS iaitu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Presiden. Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Datuk Yong Teck Lee yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP).

Hadir sama ialah bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

PBS, STAR, SAPP dan USNO bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah menjadi komponen parti yang membentuk GRS selepas gabungan itu didaftarkan secara rasmi sebagai entiti politik baharu di Sabah pada Mac lalu.

Sementara itu, Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah berkata teras kedua iaitu Sabah Forward menekanjan usaha ke arah membentuk pemikiran, menghalakan perspektif dan memimpin tindakan secara strategik dan berfokus dalam membina masa depan negeri.

Katanya, sikap, tindakan, masa dan segala sumber di Sabah perlu ditumpukan dan dihalakan ke hadapan demi membina legasi kemajuan untuk dinikmati dan diwarisi generasi akan datang.

Menerusi teras perjuangan ketiga iaitu Sabah Prosper, beliau berkata GRS menekankan kesunggguhan dan komitmen untuk melaksana serta menjayakan Agenda Sayangi Sabah melalui pelan pembangunan negeri iaitu Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Halatuju SMJ dibina untuk mengisi vakum yang ditinggalkan oleh pentadbiran yang lalu. Sungguhpun mewarisi ‘trend’ kemerosotan ekonomi dan ditambah dengan cabaran pandemik COVID-19, kita berupaya bangkit melalui pelan pembangunan ini.

“Alhamdulillah, sebagaimana yang dibentangkan dalam Majlis Setahun Hala Tuju SMJ baru-baru ini, banyak kemajuan yang sudah mula dicapai,” katanya.

Akhir sekali katanya, teras keempat iaitu Sabah United merujuk kepada kepentingan kesatuan rakyat Sabah dalam mencapai tiga teras awal yang digariskan dalam perjuangan GRS.

“Dalam menggerakkan teras perjuangan mengutamakan Sabah, membawa Sabah melangkah ke hadapan dan membina Sabah yang maju jaya memerlukan kewujudan kesatuan rakyat Sabah.

“Atas sebab itu, perjuangan Sabah First, Sabah Forward dan Sabah Prosper harus bergerak seiring bersama perjuangan Sabah United iaitu mewujudkan Sabah yang bersatu sebagai teras yang keempat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|