Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) digerakkan berpandukan dua prinsip iaitu Politik Pembangunan dan Politik Akomodasi yang bermaksud keterbukaan.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Politik Pembangunan mengutamakan pencapaian dan bukan janji retorik politik yang tidak berkesudahan.
Katanya, prinsip berkenaan menekankan ‘results over rhetoric’ yang menjadi pegangannya dalam memimpin kerajaan negeri.
“Berulang kali saya tegaskan bahawa nilai dan makna agenda pembangunan kerajaan bukan hanya boleh didengar, tetapi seharusnya dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat,” katanya pada pelancaran GRS di SICC, di sini, hari ini.
Katanya, ‘Results over Rhetoric’ adalah falsafah di sebalik prinsip Politik Pembangunan yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.
Beliau berkata, menerusi prinsip itu, GRS terus komited untuk melaksanakan akujanji dan membentangkan status pencapaiannya.
“Politik Pembangunan yang bernilai dan bermakna perlu digerakkan seiring dengan Prinsip Politik Akomodasi. Kita perlu sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan bertindak secara akomodatif demi membina solidariti dan kesatuan rakyat.
“Politik Akomodasi bermaksud keterbukaan untuk bekerjasama dengan semua atas kepentingan dan matlamat yang sama. Prinsip ini mengajak kita mencari titik persamaan untuk permuafakatan yang menyatukan, bukan perbezaan dan persaingan yang memecahkan,” katanya.
Hajiji berkata, beliau bersama ramai pemimpin lain di negeri ini sudah berada dalam persada politik Sabah berpuluh tahun dan melihat kerajaan silih berganti.
“Kita menjadi pemain dalam kerencaman persaingan politik di negeri ini, dan akhirnya kita sendiri mengakui bahawa Sabah masih jauh ketinggalan.
“Tidak dinafikan ada kemajuan, namun saya fikir semua bersetuju bahawa Sabah sewajarnya berada lebih jauh ke hadapan.
“Justeru, saya menyeru diri saya serta semua pemimpin awal dan segenerasi, marilah kita bersama merintis dan membina landasan perpaduan untuk diwarisi oleh generasi pelapis dan sekalian anak watan.
“Landasan itu adalah formula tempatan yang menyatukan kita semua melalui Gabungan Rakyat Sabah,” katanya.
Katanya, kerajaan kuat apabila bersatu, selain dihormati dalam membawa suara dan perjuangan negeri serta rakyat.
“Permuafakatan GRS bukan sekadar penting untuk kita di Sabah. Permuafakatan ini amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
-Deasoka