Sandakan: Peruntukan membina baki 19 lagi pakej fasa satu projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sudah diluluskan kerajaan dengan anggaran awal sebanyak RM12.7 bilion.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ketika ini kerajaan sedang dalam proses untuk memuktamadkan peruntukan berkenaan.
Beliau berkata, dengan kelulusan itu, cadangan untuk mendapatkan dana melalui inisiatif kewangan swasta (PFI) yang pernah disuarakan sebelum ini tidak akan diguna pakai.
“Tiada lagi PFI kerana seperti saya katakan baki pakej untuk Lebuhraya Pan Borneo fasa satu telah diluluskan dan akan dilaksanakan melalui peruntukan persekutuan.
“Sekarang ini ia sedang dimuktamadkan,” katanya pada sidang media sempena program jelajah FTRoadpedia Sabah, di sini, hari ini.
Fadillah berkata, kaedah perolehan bagi membina 19 pakej lebuh raya berkenaan juga sedang dibincangkan.
Katanya, pihaknya berharap 19 baki pakej kerja itu dapat mula dilaksanakan pada tahun ini setelah semua perkara berkaitan dimuktamadkan.
“Semua sedang dimuktamadkan melalui Kementerian Kewangan iaitu untuk kaedah pelaksanaannya dan juga kaedah perolehan.
“Kita kena tentukan macam mana kita nak buat. Kalau dulu kita laksanakan melalui kaedah rakan penyampai projek (PDP), kemudian apabila perubahan kerajaan, PDP itu ditamatkan dan sekarang dilaksanakan oleh JKR Sabah,” katanya.
Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah merangkumi tiga fasa pembinaan, bermula dengan fasa satu yang sedang dilaksanakan sejak 2016.
Projek fasa satu membabitkan 35 pakej kerja keseluruhan dengan 16 daripadanya sedang dilaksanakan, manakala baki 19 pakej lagi masih menunggu peruntukan.
-Deasoka