Sandakan: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengadakan program jelajah FTRoadpedia Sabah selama tiga hari bermula hari ini sehingga Ahad ini.
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jelajah berkenaan bagi membawa pengurusan tertinggi KKR, pegawai kanan dan agensi berkaitan melihat sendiri keadaan jalan raya di Sabah.
Katanya, fokus utama mereka adalah untuk meninjau status pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan isu penyekenggaraan jalan persekutuan di negeri ini.
“Tujuan utamanya ialah membawa pegawai kanan dan agensi pelaksana termasuk JKR Malaysia dan JKR Sabah untuk meninjau sendiri jalan yang dalam pembinaan dan penyelenggaraan.
“Pada masa sama kita dapat meninjau ‘feedback’ aduan orang ramai dan kita sendiri melihat setakat mana kebenaran aduan dan apakah tindakan yang boleh kita ambil,” katanya pada sidang media sempena program jelajah FTRoadpedia Sabah, di sini, hari ini.
Fadillah berkata, pihaknya akan menempuh sendiri perjalanan sejauh 333 kilometer dari Sandakan ke Kota Kinabalu untuk meninjau keadaan jalan raya di sepanjang laluan berkenaan.
Jelasnya, pada hari pertama, tinjauan ditumpukan kepada perkembangan terkini pakej kerja menaik taraf jalan dari Kinabatangan ke Batu 32 Sandakan, sebelum ke Beluran dan Telupid.
Katanya, esok tinjauan diteruskan di Jalan Kundasang – Kota Kinabalu.
Beliau berkata, melalui jelajah itu, pihaknya berharap dapat mengumpulkan maklumat situasi semasa keadaan jalan raya dan mencari kaedah terbaik untuk melaksanakan pembaikan demi keselesaan pengguna jalan raya di Sabah.
-Deasoka