Kumpulan Globaltec catat keuntungan sihat dan konsisten pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022

Kota Kinabalu: Kumpulan Globaltec Formation Berhad mencatat peningkatan hasil sebanyak RM4.3 juta pada suku ketiga tahun kewangan yang berakhir pada Mac lalu atau 10 peratus daripada perolehan syarikat itu dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan itu menyaksikan perolehan syarikat meningkat kepada RM47.6 juta pada suku ketiga tahun kewangan berkenaan berbanding RM43.3 juta yang dicatat pada suku ketiga tahun kewangan sebelumnya.

Pencapaian itu didorong sumbangan yang kukuh menerusi bahagian Precision Machining, Stamping and Tooling (PMST).

Dalam satu kenyataan, syarikat berkenaan bagaimanapun mencatat penurunan hasil di bahagian Automotif, berpunca daripada gangguan rantaian bekalan akibat banjir besar di Selangor pada Disember 2021.

Katanya, bahagian perladangan kelapa sawit pula menunjukkan peningkatan RM1.8 juta sejajar dengan kenaikan harga tandan sawit segar (FFB) dan pengeluaran FFB.

Kumpulan syarikat berkenaan juga terus merekodkan keuntungan bersih suku tahunan dengan keuntungan RM5.2 juta pada suku semasa yang berakhir pada 31 Mac 2022 berbanding kerugian RM1.4 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Keuntungan bersih yang tinggi itu adalah hasil daripada tempahan yang kukuh dan penambahbaikan margin di bahagian PMST tetapi terganggu sedikit oleh sumbangan yang rendah di bahagian automotif disebabkan perolehan yang rendah akibat gangguan rantaian bekalan yang disebutkan tadi,” kata kenyataan itu.

Sepanjang tempoh kewangan sembilan bulan sehingga kini, kumpulan syarikat itu mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 10 peratus daripada RM123.3 juta pada tahun sebelumnya kepada RM135.4 juta dalam tempoh yang sama tahun kewangan kali ini.

Peningkatan itu, katanya disokong oleh permintaan keseluruhan yang kukuh menerusi perniagaan PMST dan pengeluaran FFB dan harga FFB yang tinggi di bahagian perladangan kelapa sawitnya di Sabah.

“Sepanjang tempoh kewangan sembilan bulan hingga kini, kumpulan syarikat mencatat keuntungan bersih RM11.8 juta.

“Ini menunjukkan penambahbaikan yang ketara berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya dengan keuntungan sekali sahaja sebanyak RM15.4 juta daripada pelupusan royalti emas berjumlah RM11.4 juta,” katanya.

“Peningkatan itu adalah hasil tempahan yang kukuh dan margin keuntungan yang lebih baik menerusi bahagian PMST dan sumbangan keuntungan yang tinggi daripada bahagian perladangan kelapa sawit tetapi terganggu sedikit oleh sumbangan daripada bahagian automotif yang rendah,” kata kenyataan itu lagi.

Sehingga 31 Mac 2022, kumpulan Globaltec mempunyai aliran tunai dan kedudukan setara tunai yang sihat dengan RM69.8 juta, dengan pergerakan kekal rendah sebanyak 0.04 kali.

Melangkah ke hadapan, kumpulan syarikat itu katanya terus berwaspada dan akan proaktif dalam pengurusan kos berhemat bagi mengatasi masalah ekonomi dan kewangan yang disebabkan terutamanya akibat pandemik, konflik ketenteraan di Ukraine, penutupan di China dan kadar inflasi yang tinggi.

“Di samping itu, syarikat juga akan memberi tumpuan kepada pengembangan kapasiti bahagian PMST kami dan dalam melaksanakan rancanhan pembangunan untuk pengkomersialan aset gaa di Indonesia,” kata kenyataan itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|