Agensi kerajaan, GLC diminta guna pendekatan baharu bangunkan Sabah

Kota Kinabalu : Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menggunakan pendekatan baharu bagi membantu pembangunan di negeri ini.

Beliau berkata, ini bagi mengelak berlaku penangguhan projek pembangunan yang sekali gus akan menyebabkan pembangunan ekonomi di Sabah terbantut.

Bung Moktar ketika menyaksikan pemeteraian perjanjian antara LPPS dengan Devin Development Sdn Bhd, di Kota Kinabalu.

“Salah satu faktor apabila kita tangguh projek pembangunan untuk negeri Sabah, pelbagai birokrasi, pelbagai syarat kita minta.

“Sudah tentu ini akan membantutkan pembangunan ekonomi negeri Sabah sendiri, jadi secara tidak langsung kita menjadi salah satu pihak yang sabotaj pembangunan ekonomi tetapi dalam masa yang sama kita menyalahkan orang lain pula sebab tidak membantu pembangunanan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas majlis pelancaran pembinaan bangunan Ibu Pejabat Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) dan Pusat Komersial secara usahasama bersama Deevin Development Sdn Bhd di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta agensi kerajaan dan GLC melakukan perubahan dalam usaha membangunkan Sabah.

“Jadi saya minta semua agensi-agensi kerajaan, GLC guna pendekatan baharu, cara baharu, cara berfikir yang baharu dan tindakan baharu untuk membangunkan negeri ini. Kita perlu ubah, jika tidak, kita tidak akan dapat apa-apa perubahan,” katanya.

Sebelum itu, mengulas mengenai majlis yang dihadirinya, beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, Kabinet negeri pada minggu lalu telah meluluskan projek pembinaan bangunan Ibu Pejabat LPPS itu.

“Kita jangkakan dapat laksanakan pembinaannya pada tahun ini juga dan dengan termeterainya perjanjian ini sudah tentu kita dapat melihat satu mercu tanda untuk LPPS.

“Ini akan memberi impak yang besar kepada ekonomi Sabah bukan hanya kepada LPPS tetapi juga pembangunan negeri Sabah termasuk menjana peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|