Tiga PATI warga Filipina diusir

Tiga PATI warga Filipina diusir

Semporna: Sebuah bot bersama tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina diusir ketika cuba menceroboh masuk perairan negara di perairan Pulau Mataking Kecil, di sini, hari ini.

Semua mereka diusir oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna, ketika melakukan rondaan kira-kira jam 7 pagi.

Anggota PPM Semporna menahan bot dinaiki tiga lelaki warga Filipina di perairan Pulau Mataking Kecil, Semporna.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, ketika menjalankan rondaan telah menahan dan memeriksa sebuah bot yang tidak memiliki nombor pendaftaran.

Katanya, selepas pemeriksaan dilakukan terdapat tiga lelaki dewasa warga Filipina di atas bot berkenaan.

“Selepas pemeriksaan dijalankan didapati tiga lelaki dewasa terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dengan salah memasuki perairan Malaysia.

Bot dinaiki tiga lelaki warga Filipina diusir keluar dari perairan negara.

“Pengusiran kemudian dilakukan dan bot diiringi keluar dari perairan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, mereka diarahkan supaya tidak memasuki perairan negara selaras dengan kehendak undang-undang Akta Hak Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Sehubungan itu, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|