Satu maut, empat cedera dalam kemalangan

Satu maut, empat cedera dalam kemalangan

Keningau: Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera dalam kejadian kemalangan membabitkan dua kenderaan di Batu 17, Kampung Kobulu, Jalan Sook – Keningau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa yang berusia 23 tahun maut selepas tersepit di tempat duduk hadapan kereta jenis Proton Saga.

Proton Saga yang remuk teruk selepas bertembung dengan sebuah lagi kereta Perodua Bezza. Pix ihsan Bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.54 petang.

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

Mangsa berusia 23 tahun disahkan maut dilokasi oleh pasukan pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian. Pix ihsan Bomba.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati kemalangan melibatkan dua kereta Proton Saga yang bertembung dengan Perodua Bezza.

“Terdapat lima mangsa terlibat iaitu dua wanita dan tiga lelaki berusia lingkungan 23 hingga 57 tahun,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, seorang mangsa lelaki yang tersepit dikeluarkan pasukan Bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Manakala empat lagi mangsa yang turut mengalami kecederaan berjaya keluar sendiri daripada kenderaan.

“Semua mangsa yang cedera kemudiannya di hantar ke Klinik Kesihatan Sook oleh pihak Ambulan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.48 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|