Pembangkang pernah luah hasrat bekerjasama dengan PBS – Joniston

Pembangkang pernah luah hasrat bekerjasama dengan PBS – Joniston

Kota Belud: Parti Bersatu Sabah (PBS) mendedahkan pernah diajak untuk bekerjasama dengan pembangkang atas faktor perjuangannya yang jelas dan konsisten.

Setiausaha agungnya, Datuk Joniston Bangkuai, berkata ia membuktikan PBS kekal mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk di pihak lawan.

Joniston menyampaikan sijil kepada peserta bengkel pengurusan strategik PBS di Kota Belud.

Jelasnya, sebagai parti tempatan tertua yang mempunyai 37 tahun pengalaman, PBS berkembang menjadi sebuah parti yang disegani dan berpandangan jauh dengan banyak pihak menyimpan hasrat untuk bekerjasama.

“PBS adalah parti yang ikhlas dan berintegriti tinggi dan kita mahu memperkasakan PBS untuk menjadi parti yang disegani. Apabila parti lawan menganggap kita ikhlas dan jujur dalam perjuangan parti, ia menunjukkan PBS adalah parti yang baik.

“Malah ada parti pembangkang yang menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PBS kerana kita mempunyai visi dan objektif yang sangat jelas untuk negeri dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan bengkel pengurusan strategik anjuran jawatankuasa PBS Mukim Woriu di Kampung Sorob, di sini, semalam.

Bengkel itu memfokuskan pelan strategik meningkatkan keahlian dan sokongan kepada PBS, khususnya dalam kalangan golongan muda.

Joniston turut menerima lebih 300 permohonan keahlian baharu PBS daripada enam cawangan parti.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian PBS Kadamaian, Demis Rumanti; bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Herbert Timbun Lagadan dan pengerusi penganjur, Walter Kandayon.

Dalam pada itu, Joniston yang juga ADUN Kiulu berkata, PBS juga mampu menjadi parti pilihan golongan muda berikutan perjuangan konsistennya meskipun mengharungi pelbagai cabaran sejak penubuhannya pada 1985.

“Sejajar pewartaan undang-undang yang membolehkan rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi, PBS harus mempunyai gabungan sokongan belia yang seimbang dan memberi peluang kepada orang muda untuk mengembangkan kemahiran kepemimpinan mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam konteks kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Joniston berkata PBS adalah rakan kongsi utama dan diberi peranan yang penting.

Jelasnya, bagi mendapat penghormatan daripada pihak sekutu dan lawan, PBS mesti sentiasa mantap dan kekal fokus untuk memulihkan kekuatan parti.

Joniston berkata ahli PBS harus berbangga dengan peranan parti dalam mempelopori perjuangan untuk hak negeri Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perundangan berkaitan lompat parti dan keperluan untuk membasmi pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

“PBS sentiasa lantang bersuara mengenai hak Sabah sehingga kita dikritik hebat malah dilabel sebagai anti persekutuan tetapi ini adalah perjuangan berterusan kita.

“Sekarang, kita juga harus fokus kepada usaha mendekati generasi muda, kerana mereka yang berumur 18 tahun akan mengundi tidak lama lagi.

“Kita mesti terus memberitahu mereka mengenai perjuangan PBS yang membawa kepada kesedaran dalam kalangan rakyat Sabah berhubung kepentingan memperjuangkan hak kita seperti yang termaktub dalam MA63,” katanya.

Joniston menegaskan perjuangan seperti itu mesti disemai dalam jiwa golongan muda dengan pemahaman yang mendalam kerana mereka adalah generasi pemimpin akan datang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|