Covid-19 Sabah: Pelajar SMK Balung cetus Kluster Jalan Sri Balung, Tawau

Covid-19 Sabah: Pelajar SMK Balung cetus Kluster Jalan Sri Balung, Tawau

Kota Kinabalu: Selepas tiga hari tiada kluster baharu dilaporkan, Sabah kembali merekodkan kluster berkaitan institusi pendidikan yang diisytiharkan di Tawau, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kluster Jalan Sri Balung itu tercetus selepas seorang pelajar asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung dikesan positif Covid-19.

Katanya, kes indeks itu mula bergejala pada 19 Januari sebelum menjalani saringan di klinik kesihatan dan disahkan positif Covid-19 melalui ujian RTK – Ag pada 21 Januari lalu.

“Saringan ke atas kontak rapat mendapati 17 orang lagi pelajar didapati positif menjadikan jumlah yang terlibat seramai 18 orang setakat ini.

“Kesemua pelajar yang dijangkiti berada dalam Kategori 1 dan 2 serta telah diasingkan dan diberi rawatan yang sesuai,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Sementara itu, kes harian di Sabah melonjak mendadak hari ini kepada 314 kes berbanding 118 kes semalam, dengan peningkatan sebanyak 196 kes.

Katanya, empat daerah mencatat angka jangkitan baharu yang agak tinggi iaitu Sandakan 68 kes (+56), Kota Kinabalu 61 kes (+44), Beaufort 39 kes (+31) dan Tuaran 34 kes (+19).

“Secara keseluruhan, terdapat sembilan daerah mencatat kes baharu dua angka, 14 daerah dengan catatan satu angka dan empat daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu,” katanya.

Masidi berkata, berdasarkan laporan dan statistik harian yang disediakan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), punca kenaikan mendadak hari ini ialah kerana bilangan saringan positif yang agak tinggi dalam kalangan kontak rapat selain kes baharu daripada kluster yang aktif.

Katanya, sebanyak 64 kes baharu hari ini datang daripada kluster, manakala 143 kes pula adalah dalam kalangan kontak rapat.

“Sebanyak 312 daripada 314 kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, diikuti dua kes dalam Kategori 3 dan tiada pesakit dalam Kategori 4 dan 5,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 25 Januari 2022
Sabah 314 (118)

Sandakan 68 (12)
Kota Kinabalu 61 (17)
Beaufort 39 (8)
Tuaran 34 (15)
Penampang 16 (13)
Tawau 16 (4)
Papar 15 (15)
Kota Marudu 15 (7)
Lahad Datu 11 (3)
Ranau 7 (2)
Putatan 7 (6)
Kota Belud 5 (2)
Kunak 3 (1)
Keningau 3 (3)
Tambunan 2 (1)
Beluran 2 (0)
Kinabatangan 2 (1)
Pitas 2 (0)
Tenom 2 (3)
Telupid 1 (1)
Sipitang 1 (2)
Tongod 1 (0)
Kudat 1 (1)
Semporna 0 (0)
Kuala Penyu 0 (1)
Nabawan 0 (0)
Kalabakan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 24 Januari 2022

Kluster Baharu
Kluster Jalan Sri Balung
Tawau, 18 (+14)
Kluster Institusi Pendidikan

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|