114 Terima Darjah Kebesaran Negeri Sabah daripada TYT

114 Terima Darjah Kebesaran Negeri Sabah daripada TYT

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka, Harun Durabi mendahului senarai 114 penerima darjah kebesaran, bintang serta pingat negeri Sabah pada istiadat pengurniaaan di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Harun bersama dua lagi ADUN iaitu Samad Jambri (Labuk) dan Flovia Ng (Tulid) menerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK).

Ceaser Mandela menerima ADK daripada Tun Juhar

Turut menerima ASDK ialah Pengurus Kanan Perhubungan Pemegang Taruh Repsol, Ahmad Fakhrurrazi Arshad; Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd (BDNC), Feroz Razi Ramli; usahawan, Kadai Akak @ James dan Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Vitalis Justin Moduying.

Istiadat pengurniaan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin yang turut diserikan dengan kehadiran isterinya, Toh Puan Norlidah RM Jasni di Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu.

Sementara itu, seramai 24 individu lain menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK); antaranya Pegawai Perubatan, Dr Douglas Mitchell Joinol Jr; bekas Pegawai Penerangan Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah, Wasrin Jakaria; Naib Ketua Bahagian UMNO Papar, Hasrul Ag Tuah dan Naib Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Ceasar Mandela Malakun.

Pada istiadat itu, Tun Juhar turut mengurniakan Bintang Setia Kinabalu (BSK) kepada 38 penerima termasuk Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain.

Seramai 37 orang lagi dikurniakan Bintang Kinabalu (BK) termasuk tiga warga JAPEN Sabah iaitu Jeffren Malaning, Badrul Tabid dan Allahyarham Mahmut @ Aziz Ahmad yang diwakili anaknya, Ahmad Tajudin Mahmut, diikuti pengurniaan Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) kepada lapan penerima.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|