Tangan cedera tersepit mesin pengisar ikan

Tangan cedera tersepit mesin pengisar ikan

Lahad Datu: Seorang remaja perempuan cedera selepas jari tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar ikan dalam kejadian di sebuah restoran di Perdana Square, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, mangsa berusia 17 tahun dikatakan sedang melakukan kerja-kerja mengisar ikan untuk dijadikan tauhu ikan.

Pasukan Bomba membawa mangsa bersama mesin berkenaan ke hospital untuk tindakan selanjutnya. Pix Ihsan Bomba

Bagaimanapun, mangsa dipercaya terleka apabila secara tiba-tiba tangan kanannya tertarik masuk ke dalam mesin berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.17 petang.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, jari mangsa didapati masih tersepit di dalam mesin pengisar ikan berkenaan.

“Pasukan Bomba terus bertindak membawa mangsa bersama mesin berkenaan ke hospital atas faktor keadaan mangsa menggunakan jentera EMRS untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan Hospital Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.46 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|