Keningau: Seramai 13 orang membabitkan dua keluarga dari Kampung Bunsit, di sini, dipindahkan selepas kediaman mereka digenangi banjir, malam ini.
Semua mangsa terdiri daripada empat lelaki dan sembilan wanita dipindahkan oleh pasukan bomba ke rumah saudara-mara terdekat.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan berlaku bencana banjir di kampung berkenaan, jam 9.19 malam.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau bertindak ke lokasi kejadian bagi operasi memindahkan mangsa banjir.

“Seramai 13 orang membabitkan dua keluarga dipindahkan ke rumah saudara mara terdekat.
“Pasukan bomba masih berada di lokasi untuk melakukan pemantauan dan bersiap sedia bagi melakukan operasi pemindahan mangsa,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, keadaan paras air dilaporkan semakin surut dan maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
-Deasoka