Tiga PATI ditahan disyaki pengikut kumpulan ajaran meragukan ‘Wali Tujuh’

Tiga PATI ditahan disyaki pengikut kumpulan ajaran meragukan ‘Wali Tujuh’

Lahad Datu: Tiga pengikut kumpulan ‘Wali Tujuh’ yang membawa ajaran batin dan kebal ditahan Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam serbuan di sebuah rumah pekerja di Ladang Bukit Keram, Kinabatangan, semalam.

Ketiga-tiga lelaki terbabit adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dan ditahan untuk siasatan lanjut oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, kerana disyaki terbabit dengan kegiatan ajaran meragukan.

Kalender putikaan yang diturut dirampas dengan tertangkapnya tiga lelaki terbabit ajaran meragukan.

Komander ESSCOM Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, susulan penahanan suspek terbabit, beberapa barang peribadi milik salah seorang individu iaitu kalender putikaan, pisau, senjata jenis lastik dan pelbagai jenis tangkal dirampas.

Katanya, berdasarkan risikan awal, kumpulan ini diketuai oleh seorang guru dengan dibantu dua individu.

“Kumpulan ini mula bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dengan membawa ajaran ilmu bati ln dan kebal yang telah berkembang pantas.

“Kumpulan ajaran inj juga menarik minat penyertaan pekerja ladang khususnya warga asing di sekitar Lahad Datu dan Kinabatangan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, pada waktu ini, kumpulan terbabit mempunyai seramai 20 pengikut terdiri daripada warga asing yang merupakan pekerja ladang di sekitar daerah berkenaan.

Sehubungan itu, Hamzah mengingatkan orang ramai agar tidak terpengarah dengan ajaran atau dakyah baharu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.

Katanya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu dan kumpulan yang sengaja mengganggu gugat ketenteraman awam dan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|