Pusat hiburan diserbu, 34 dikenakan kompaun RM34,000

Pusat hiburan diserbu, 34 dikenakan kompaun RM34,000

Keningau: Polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM34,000 terhadap pengunjung dan pemilik premis pusat hiburan di kawasan pekan ini, semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Serbuan menerusi Op Hiburan kira-kira jam 1 pagi itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau mengenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kepada 33 pengunjung manakala pemilik premis hiburan turut dikenakan kompaun RM1,000.

Semua pengunjung pusat hiburan berkenaan dikenakan kompaun bernilai RM1,000 setiap seorang.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, ketika serbuan dilakukan didapati muzik masih dimainman dengan pengunjung minum minuman keras di dalam premis berkenaan.

Katanya, seramai 33 individu terdiri daripada 29 lelaki dan tiga wanita berusia 18 hingga 45 tahun diperiksa dan diambil tindakan kompaun kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan mengikut Peraturan 17 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKTJ) PPN 2021.

Polis menjalankan pemeriksaan di pusat hiburan berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen yang sah dan turut ditahan seorang wanita berusia 40 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis.

“Siasatan juga mendapati premis ini pernah dikompaun kerana melanggar SOP beroperasi melebihi masa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Seramai 34 pengunjung, pemilik sebuah pusat hiburan di Keningau, dikenakan kompaun keseluruhan RM34,000 selepas dikesan melanggar SOP Fasa 4 PPN.

Nor Rafidah berkata, beberapa peralatan muzik turut dirampas dan tangkapan serta rampasan dibawa ke IPD Keningau untuk tindakan lanjut mengikut Ordinan Hiburan Awam.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai serta premis-premis dinasihatkan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan dalam PPN bagi memastikan diri, keluarga dan masyarakat kekal selamat.

Beberapa peralatan muzik turut dirampas.

“Operasi ini akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam merealisasikan usaha kerajaan menghentikan penularan wabak Covid-19 di negara ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|